Setiap tahun taman botani tempatan kami menganjurkan perayaan Krismas yang menunjukkan pameran keliling dunia. Pameran kegemaran saya adalah pameran kelahiran Yesus dari negara Perancis. Pameran tersebut bukan seperti pameran tradisional yang menunjukkan para gembala domba dan ahli-ahli kaji bintang yang mempersembahkan emas, kemenyan dan mur serta berkumpul di keliling palung Yesus, sebaliknya ia memaparkan penduduk kampung Perancis membawa hadiah seperti roti, wain, keju, bunga, dan hasil lain melalui keupayaan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Ini mengingatkan saya tentang perintah dalam Perjanjian Lama mengenai membawa hasil tanaman pertama yang terbaik ke rumah Tuhan (Keluaran 23:16-19). Gambaran kelahiran Yesus ini menunjukkan bahawa segala-galanya yang kita miliki berasal daripada Tuhan, oleh itu, satu-satunya benda yang kita perlu berikan merupakan sesuatu yang telah diberikan oleh Tuhan.

Apabila Paulus mengarahkan orang Roma mempersembahkan diri mereka sebagai korban yang hidup, dia sebenarnya memberitahu mereka mengembalikan apa yang sudah diberikan oleh Tuhan kepada mereka—iaitu diri mereka sendiri (Roma 12:1). Ini termasuklah berkat yang sudah diberikan Tuhan kepada mereka, mahupun keupayaan mereka untuk menyara hidup masing-masing. Kita juga tahu bahawa Tuhan memberkati orang dengan kebolehan istimewa. Sebagai contoh, Daud, mempunyai kemahiran dalam muzik (1 Samuel 16:18). Bezaleel dan Oholiab pula mempunyai kemahiran dalam kesenian (Keluaran 35:30-35). Orang lain pula ada yang mempunyai kemahiran menulis, mengajar, berkebun, dan banyak lagi.

Apabila kita mengembalikan apa yang telah awal diberikan Tuhan kepada kita, kita memberikan Dia hadiah yang sempurna, yakni kita sendiri.