Madaleno seorang penurap bata. Dari hari Isnin hingga hari Khamis dia membina dinding dan membaiki atap. Dia seorang yang pendiam, boleh dipercayai, dan ringan tulang. Kemudian dari hari Jumaat hingga hari Ahad, dia akan pergi ke pergunungan untuk mengajar firman Tuhan. Madaleno berbahasa Nahuatl (salah satu dialek orang Mexico), maka dia dapat memberitahukan berita baik tentang Yesus kepada penduduk di daerah itu. Walaupun dia sudah berusia 70 tahun, dia masih menggunakan tenaga fizikalnya untuk membina rumah, malahan dia juga rajin membina keluarga Tuhan.

Nyawanya sudah beberapa kali terancam. Dia pernah tidur di bawah langit yang berbintang dan menghadapi risiko maut daripada kemalangan kereta, malah telah jatuh banyak kali. Dia pernah diusir keluar dari pekan-pekan tertentu. Walau bagaimanapun, dia menganggap bahawa Tuhan yang memanggilnya untuk melakukan apa yang sedang dilakukannya sekarang, dan dia melayani dengan hati gembira. Dia berharap kepada Tuhan untuk memberinya kekuatan yang diperlukannya kerana dia mempercayai bahawa setiap orang harus mengenali Tuhan.

Kesetiaan Madaleno mengingatkan saya tentang kesetiaan Kaleb dan Yosua, dua orang lelaki yang dihantar oleh Musa untuk menjelajahi Tanah Perjanjian lalu melaporkan penemuan mereka kepada orang Israel (Bilangan 13; Yosua 14:6-13). Rakan-rakan mereka takut akan penduduk di situ, tetapi Kaleb dan Yosua percaya kepada Tuhan dan yakin bahawa Dia akan menolong mereka menawan tempat itu.

Pekerjaan yang diamanahkan kepada kita mungkin berbeza daripada pekerjaan Madaleno, atau Kaleb dan Yosua. Bagaimanapun, keyakinan kita adalah sama. Dalam hal menjangkau orang lain, kita tidak bergantung kepada kekuatan sendiri tetapi kepada kekuatan daripada Tuhan kita.