Apabila seorang pegawai polis menghentikan seorang wanita kerana dia tidak memasangkan kerusi kereta khas untuk anak perempuannya yang masih kecil, polis itu seharusnya terus memberi saman kepadanya kerana telah melanggar undang-undang jalan raya. Sebaliknya, dia meminta agar wanita dan anak perempuan itu berjumpa dengannya di sebuah kedai berhampiran, dan dia sendiri telah membayar untuk kerusi khas tersebut. Sememangnya wanita tersebut sedang mengalami kesusahan sehingga dia tidak mampu pun membeli kerusi tersebut.
Walaupun wanita itu sepatutnya disaman atas perbuatannya yang salah, dia pula telah menerima sebuah hadiah. Sesiapa yang mengenali Kristus pasti memahami serta pernah melalui situasi yang serupa. Semua kita seharusnya menerima hukuman kerana melanggar perintah Tuhan (Pengkhutbah 7:20). Namun disebabkan Yesus, kita dapat mengalami kasih anugerah Tuhan. Rahmat ini mengecualikan kita daripada upah dosa, iaitu kematian serta perpisahan kekal daripada Tuhan (Roma 6:23). “Hal itu demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah” (Efesus 1:7).
Sesetengah orang mengatakan bahawa kasih anugerah adalah “kasih yang bertindak.” Apabila ibu muda tadi mengalami situasi ini, dia berkata kemudian, “Saya akan sentiasa bersyukur! … dan sebaik sahaja saya mempunyai kemampuan, saya akan meneruskan budi baik itu.” Respons yang penuh kesyukuran terhadap tindakan pegawai polis tadi merupakan satu contoh yang dapat memberi inspirasi kepada kita yang sudah menerima hadiah kasih anugerah serta rahmat Tuhan!