Saya berasa gembira apabila saya terlihat bintang filem wanita Korea kegemaran saya muncul di laman Twitter, maka saya memutuskan untuk menulis satu nota kepadanya. Saya menulis mesej yang terbaik dan menunggu jawapannya. Saya tahu mungkin saya tidak akan menerima sebarang respons. Seorang selebriti sepertinya akan menerima sejumlah besar mel daripada peminat setiap hari. Walaupun begitu, saya masih berharap dia akan menjawab. Tetapi akhirnya saya dikecewakan.
Syukurlah, kita tahu Tuhan memberikan respons kepada kita. Dia adalah “Yang Maha Tinggi,” “Yang Maha Kuasa” (Mazmur 91:1). Kedudukan-Nya ditinggikan dan kuasa-Nya tidak terbatas, namun kita dapat mendekati-Nya. Tuhan membuat jemputan ini: “Apabila mereka berseru kepada-Ku, Aku akan menjawab” (ayat 15).
Legenda purba menceritakan seorang raja mengupah para penenun untuk membuat langsir dan pakaian untuknya. Raja memberikan sutera dan corak kepada para penenun dengan memberi mereka arahan yang ketat untuk mendapatkan bantuannya dengan serta-merta jika mereka menghadapi sebarang masalah. Seorang penenun muda gembira dan berjaya manakala yang lain sentiasa mengalami masalah. Apabila anak muda itu ditanya sebab dia begitu berhasil, dia berkata, “Tidakkah anda perhatikan saya kerap kali bertanya kepada raja?” Mereka menjawab, “Ya, tetapi dia sangat sibuk, dan kami ingat bahawa anda bersalah kerana selalu mengganggu dia.” Anak muda itu menjawab, “Saya hanya percaya pada janjinya, dan dia sentiasa gembira untuk menolong saya!”
Tuhan kita adalah seperti raja itu—dan lebih hebat lagi. Dia mengasihi dan sangat bermurah hati untuk mempedulikan kebimbangan kita yang paling kecil dan bisikan kita yang paling halus.