Seorang kawan koboi saya yang dibesarkan di sebuah ladang di Texas, Amerika Syarikat mempunyai beberapa frasa yang berbunga-bunga. Salah satu frasa kegemaran saya adalah “Tidak perlunya banyak air untuk membuat kopi yang baik.” Apabila seseorang cuba melemparkan tanjul pada seekor lembu kasi yang terlalu besar atau menghadapi sesuatu masalah, kawan saya akan menjerit, “Peganglah kuat kepada apa yang anda miliki!” Maksudnya, “Bantuan dalam perjalanan! Jangan lepaskan!”
Dalam kitab Wahyu kita dapat membaca surat “kepada jemaah di tujuh buah tempat di daerah Asia” (bab 2-3). Pesan-pesan daripada Tuhan ini penuh dengan dorongan, teguran dan cabaran, dan kesemua ini berkata kepada kita pada hari ini seperti berkata kepada penerima surat pada abad pertama.
Dua kali dalam surat ini kita mendapati ungkapan, “Berpegang kepada apa yang kamu miliki.” Tuhan telah memberitahu jemaah di Tiatira, “Berpegang kepada apa yang kamu miliki, sehingga Aku datang kelak” (2:25). Dia juga berkata kepada jemaah di Filadelfia, “Aku akan segera datang! Jagalah baik-baik apa yang kamu miliki, supaya tidak seorang pun merampas hadiah kemenangan kamu” (3:11). Di tengah-tengah ujian dan tentangan yang besar, orang yang beriman ini berpaut kepada janji-janji Tuhan dan teguh dalam iman.
Apabila keadaan kita menjadi susah dan kesedihan melebihi kegembiraan, Yesus berseru kepada kita, “Peganglah kepada apa yang anda miliki! Bantuan dalam perjalanan!” Dengan janji itu, kita boleh teguh dalam iman dan bergembira.