Pada 31 Oktober, 2014 sebuah pesawat angkasa eksperimen meletup dan terhempas ke Gurun Mojave semasa penerbangan ujian. Pembantu juruterbang terbunuh manakala juruterbangnya terselamat dengan ajaib. Para penyiasat dengan segera mengesan apa yang telah berlaku, tetapi mereka tidak tahu sebabnya. Tajuk artikel akhbar tentang nahas itu bermula dengan perkataan “Soalan-soalan masih tidak terjawab.”
Sepanjang hidup ini, kita mungkin akan mengalami penderitaan yang tidak ada penjelasan yang mencukupi. Ada peristiwa-peristiwa bencana yang membawa kesan yang meluas, manakala ada tragedi lain yang membawa kesan terhadap peribadi, sehingga mengubah kehidupan dan keluarga kita. Kita ingin tahu sebabnya, tetapi kita seolah-olah menemui lebih banyak soalan dan bukan jawapan. Namun begitu, walaupun kita bergelut dengan soalan “Mengapa?” Tuhan menghulurkan kasih setia-Nya kepada kita.
Apabila Ayub kehilangan anak-anaknya dan hartanya dalam satu hari (Ayub 1:13-19), dia tenggelam dalam kemurungan yang penuh kemarahan dan menentang sebarang penjelasan daripada kawan-kawannya. Namun dia masih menaruh harapan bahawa suatu hari nanti dia akan menerima jawapan daripada Tuhan. Biarpun dalam kegelapan Ayub boleh berkata, “Namun Allah tahu setiap langkahku; jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku” (23:10).
Oswald Chambers berkata, “Akan tiba satu hari bahawa Tuhan sendiri akan menghibur dan menyentuh hati kita, apabila segala air mata dan kebingungan, setiap penindasan dan kesusahan, penderitaan dan kesakitan, kesilapan dan ketidakadilan akan mendapat penjelasan yang lengkap, secukupnya dan memuaskan.”
kita menemukan bantuan dan harapan dalam kasih Tuhan.