Cara membaca saya berbeza daripada suami saya. Memandangkan bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua bagi Tom, dia cenderung membaca dengan perlahan, perkataan demi perkataan. Saya sering membaca sepintas lalu sahaja. Namun Tom dapat mengingat lebih banyak daripada saya. Dia boleh memetik ayat-ayat yang dibacanya seminggu yang lalu dengan mudah, tetapi ingatan saya akan melenyap beberapa saat setelah saya menutup buku atau paparan komputer.
Membaca sepintas lalu juga menjadi masalah apabila saya membaca Alkitab—dan bukan hanya pada bahagian salasilah. Saya tergoda membaca sepintas lalu ayat-ayat yang saya biasa ketahui, baik bagi cerita-cerita yang saya pernah dengar sejak kecil, atau mazmur yang menjadi sebahagian korus.
Amsal 2 menggalakkan kita supaya berusaha untuk lebih mengenali Tuhan dengan mempunyai hati yang ingin memahami secara teliti. Apabila kita membaca Alkitab dengan teliti dan melaburkan masa kita dalam menghafal firman, kita akan menyerap kebenaran itu secara lebih mendalam (ayat 1-2). Kadangkala, membaca firman dengan kuat akan membantu kita mendengar dan memahami hikmat Tuhan secara lebih menyeluruh. Apabila kita berdoa kepada Tuhan dengan menggunakan perkataan firman dan memohon “pengetahuan dan pengertian” daripada-Nya (ayat 3), kita dapat menikmati perbualan dengan Penulis firman.
Kita mengenali Tuhan dan hikmat-Nya apabila kita mencari hikmat-Nya dengan segenap hati. Kita memperoleh kefahaman apabila kita mencarinya seperti mencari perak atau harta terpendam.