Anda dan saya mempunyai satu persamaan. Kita tinggal di dunia yang kacau dan tercemar, dan keadaan ini sahaja yang kita ketahui. Namun, Adam dan Hawa dapat ingat akan kehidupan mereka sebelum kutukan itu. Mereka dapat mengingat kembali dunia yang dihasratkan oleh Tuhan pada awalnya—bebas daripada kematian, kesusahan, dan kesakitan (Kejadian 3:16-19). Sebelum dosa masuk di Taman Eden, kebuluran, pengangguran dan penyakit tidak wujud. Tiada seorang pun mempersoalkan kuasa kreatif Tuhan atau rancangan-Nya bagi membina hubungan dengan manusia.

Dunia yang kita warisi sekarang hanya sedikit menyerupai taman Tuhan yang sempurna. Seperti dikatakan oleh C. S. Lewis, “Ini adalah dunia yang baik tetapi telah menjadi rosak, namun [ia] masih mengekalkan kenangan keadaan yang sepatutnya ada.” Mujurlah, ingatan yang kabur tentang bumi yang sepatutnya juga merupakan nubuat yang melihat ke dalam keabadian. Di syurga, sebagaimana Adam dan Hawa berjalan dan berbual-bual dengan Tuhan, orang percaya akan melihat muka-Nya dan melayani-Nya secara langsung. Tiada apa-apa yang menjadi penghalang di antara Tuhan dengan kita. “Di dalam kota itu tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah” (Wahyu 22:3). Tiada dosa, tiada ketakutan dan tiada yang memalukan di sana.

Masa lampau dan kesannya mungkin meninggalkan bayangan pada hari ini, tetapi kesudahan hidup orang percaya membawa janji bagi sesuatu yang lebih baik—hidup di tempat yang sempurna seperti Taman Eden.