Saya tidak dapat mengambil balik tindakan saya. Seorang wanita meletakkan keretanya di depan kereta saya dan menghalang saya memandu ke pam minyak. Dia keluar dari keretanya untuk meletakkan beberapa barangan kitar semula, dan saya tidak mahu menunggu, maka saya pun membunyikan hon padanya. Hati saya jengkel, lalu saya mengundurkan kereta dan memandu mengikut jalan lain. Pada masa itu juga, saya berasa kesal kerana tidak sabar dan tidak rela menunggu 30 saat sahaja (paling lama) untuk memindahkan keretanya. Saya meminta ampun kepada Tuhan. Betul, dia sepatutnya meletakkan kereta di kawasan yang ditentukan, tetapi saya pun seharusnya menunjukkan kebaikan dan kesabaran terhadapnya, bukan kekasaran. Sedihnya, sudah terlambat bagi saya untuk memohon maaf kepadanya—dia sudah pergi.
Banyak ayat dalam kitab Amsal mencabar kita berfikir tentang cara bertindak balas apabila orang lain mengganggu rancangan kita. Ada ayat Amsal yang menyatakan, “Orang bodoh lekas marah apabila tersinggung, tetapi orang bijak tidak menghiraukan nistaan” (Amsal 12:16). Dan “Hanya orang bodoh suka bertengkar; sikap yang terpuji adalah menjauhi pertengkaran” (20:3). Dan terdapat ayat yang menyatakan sesuatu yang terus masuk ke dalam hati: “Orang bodoh menunjukkan kemarahan dengan terang-terang, tetapi orang bijak bersabar dan menahan kemarahan” (29:11).
Kadangkala ini kelihatannya susah untuk bertumbuh dalam kesabaran dan kemurahan. Namun rasul Paulus mengatakan hal ini pekerjaan Tuhan, yakni “buah Roh” (Galatia 5:22-23, Alkitab TB). Apabila kita bekerjasama dengan-Nya dan bergantung kepada-Nya, Dia menghasilkan buah itu dalam kita. Ubahlah kami, Tuhan.