“Meat Mountain” adalah sejenis sandwic besar yang dilapisi dengan enam jenis daging. Sandwic ini disusun dengan daging ayam yang lembut, tiga keping dendeng babi, dua keping keju, dan banyak lagi. Sandwic ini seumpama hidangan istimewa sesebuah restoran.

Namun, Meat Mountain tidak termasuk dalam senarai menu di mana-mana restoran. Sandwic ini mewakili aliran baru tentang hidangan yang tidak tersenarai dalam menu dan hanya diketahui secara lisan. Rupanya persaingan dapat mendorong restoran-restoran makanan segera menawarkan menu rahsia kepada pelanggan yang mengetahui maklumat ini.

Apabila Yesus memberitahu para pengikut-Nya bahawa Dia mempunyai “makanan” yang tidak diketahui oleh mereka, tentu sekali ia kelihatan seperti sebuah menu rahsia bagi mereka (Yohanes 4:32). Dia merasakan kekeliruan mereka, maka Dia menerangkan bahawa makanan-Nya adalah melakukan kehendak Dia yang mengutus-Nya, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan kepada-Nya (ayat 34).

Yesus baru sahaja bercakap kepada seorang wanita Samaria di pinggir perigi Yakub tentang air yang memberikan hidup yang tidak pernah didengarinya. Semasa mereka berbual-bual, Dia mendedahkan pemahaman yang luar biasa mengenai kehausan wanita itu yang tidak habis-habis terhadap hidup. Apabila Yesus memberitahukan identiti-Nya, wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan bertanya kepada orang di bandar, “Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?” (ayat 29).

Sesuatu yang dahulunya suatu rahsia, kini ditawarkan kepada semua orang. Yesus menjemput kita semua mempercayai keupayaan-Nya untuk memenuhi keperluan hati kita yang paling dalam. Apabila kita percaya, kita dapat menjalani kehidupan kita tanpa bergantung kepada kerinduan fizikal, tetapi dengan bersandar kepada Roh Tuhan kita yang memuaskan jiwa kita.