Pelakon komedi Fred Allen berkata, “Seorang selebriti ialah orang yang bekerja keras sepanjang hidupnya untuk menjadi terkenal kemudian memakai cermin mata hitam untuk elak daripada dikenali.” Kemasyhuran sering menyebabkan orang kehilangan privasi dan sentiasa menarik perhatian orang ramai tanpa berhenti.
Pada waktu Yesus memulakan pelayanan-Nya di khalayak ramai dengan mengajar dan menyembuhkan orang, Dia juga menjadi terkenal dengan serta-merta dan ramai orang datang kepada-Nya untuk meminta bantuan. Orang ramai mengikut-Nya ke mana sahaja Dia pergi. Namun, Yesus memahami bahawa meluangkan masa yang tetap untuk bersendirian dengan Tuhan adalah mustahak untuk mengekalkan kekuatan dan perspektif.
Selepas dua belas pengikut Yesus kembali dari misi mereka yang berjaya, iaitu “menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah,” Yesus membawa mereka ke tempat sunyi untuk berehat (Lukas 9:2,10). Namun tidak lama kemudian, orang ramai menemui mereka dan Yesus menyambut mereka. Dia “mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan” (ayat 11). Tuhan tidak menyuruh mereka pulang, melainkan Dia menyediakan makanan perkelahan untuk 5,000 orang! (ayat 12-17).
Yesus tidak terkecuali daripada tekanan orang ramai yang ingin tahu dan yang kesakitan, tetapi Dia mengekalkan keseimbangan pelayanan-Nya di khalayak ramai dengan mengambil masa untuk berehat dan berdoa secara bersendirian dengan Bapa-Nya (Lukas 5:16).
Semoga kita mengikuti teladan Tuhan kita apabila kita melayani orang lain dalam nama-Nya.