Joan bergelut dengan beberapa hal yang susah dengan anak-anaknya apabila dia duduk semasa kebaktian. Dia berasa penat dan ingin “meletakkan jawatan” sebagai seorang ibu. Kemudian pengkhutbah mula memberikan galakan kepada mereka yang berputus asa. Keempat-empat gagasan yang didengar oleh Joan pada pagi itu telah membantu dia terus mara ke depan:
Memandang ke atas dan berdoa. Asaf berdoa sepanjang malam dan meluahkan perasaannya bahawa Tuhan seolah-olah telah melupakan dan menolaknya (Mazmur 77:10-11). Kita boleh memberitahu segala-galanya kepada Tuhan dan jujur terhadap perasaan kita. Kita boleh bertanya kepada-Nya apa-apa soalan. Jawapan-Nya mungkin tidak datang dengan segera atau dalam bentuk yang kita inginkan atau harapkan, tetapi Dia tidak akan mengkritik kita jika kita bertanya.
Memandang ke belakang dan merenungkan perkara yang telah dilakukan oleh Tuhan pada masa lampau untuk anda dan orang lain. Asaf tidak memberitahu Tuhan mengenai kesakitannya sahaja; dia juga mengingat kembali akan kuasa Tuhan dan pekerjaan-Nya yang ajaib untuk dirinya dan umat Tuhan. Dia menulis, “Aku akan mengingat perbuatan-Mu yang besar, ya TUHAN. Aku akan mengenang keajaiban yang Engkau lakukan pada zaman dahulu” (ayat 12).
Memandang ke depan. Fikirkan kesan baik yang mungkin berlaku selepas melalui kesukaran itu. Apakah yang dapat anda pelajari? Apakah yang mungkin dilakukan oleh Tuhan? Tahukah anda perkara yang akan dilakukan oleh Tuhan kerana jalan-Nya sempurna? (ayat 14).
Memandang lagi. Kali ini, pandang kepada keadaan anda dengan mata iman. Ingatkan diri anda bahawa Dia Tuhan yang melakukan mukjizat dan boleh dipercayai (ayat 15).
Semoga kesemua idea ini boleh membantu kita mendapat sudut pandangan yang betul dan mara ke depan dalam perjalanan iman kita dengan Yesus.