Mary Ann percaya kepada Tuhan dan Anak-Nya Yesus, tetapi dia mempersoalkan sebabnya Yesus perlu menumpahkan darah-Nya sendiri untuk membawa penyelamatan. Siapa akan terfikir untuk membersihkan sesuatu dengan darah? Namun Alkitab menulis, “Sebenarnya, menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah” (Ibrani 9:22). Pada pendapat Mary Ann, hal itu menjijikkan!
Kemudian pada suatu hari, dia perlu pergi ke hospital. Keadaan genetik telah mengubah sistem imunnya, dan doktor berasa terkejut apabila penyakit ini mula menyerang darahnya. Apabila dia berada dalam bilik kecemasan, dia terfikir, Jika saya kehilangan darah, saya akan meninggal. Tetapi Yesus menumpahkan darah-Nya supaya saya boleh hidup!
Tiba-tiba dia memahami semuanya. Di tengah-tengah kesakitannya, Mary Ann berasa sukacita dan tenang. Dia memahami bahawa darah adalah hidup, dan kehidupan yang suci diperlukan bagi kita untuk berdamai dengan Tuhan. Hari ini, Mary Ann masih hidup dan cergas, serta bersyukur kepada Tuhan untuk kesihatannya dan pengorbanan Yesus untuknya.
Ibrani 9 menerangkan maksud upacara memercikkan darah menurut Perjanjian Lama (ayat 16-22) dan pengorbanan Yesus yang berlaku satu kali untuk selamanya telah menamatkan korban binatang (ayat 23-26). Dengan memikul dosa kita, Dia rela mati dan menumpahkan darah-Nya untuk menjadi korban bagi pihak kita. Kini kita mempunyai keyakinan untuk masuk ke hadirat Tuhan. Bagaimanakah kita dapat berterima kasih kepada Yesus dengan secukupnya kerana Dia telah mengorbankan diri untuk kita, hidup-Nya menjadi hidup kita, Bapa-Nya menjadi Bapa kita?