Selepas suami saya menjalani pembedahan jantung, saya berasa cemas di sebelah katilnya sepanjang malam. Pada waktu pagi, saya teringat akan janji temu untuk pergi memotong rambut. “Saya perlu membatalkannya,” kata saya, sambil menggaru-garu rambut saya yang kusut masai dengan jari-jari saya.
“Ibu, pergilah sahaja mencuci muka dan memotong rambut,” kata anak perempuan saya.
“Tidak, tidak,” saya menegaskan. “Rambut saya tidak penting. Saya perlu berada di sini.”
“Saya akan berada di sini,” kata Rosie. “Penjagaan diri, ibu … Jagalah diri. Ibu akan lebih membantu bagi ayah jika ibu menjaga diri dengan baik.”
Musa menjadi amat letih dengan bertugas sebagai hakim untuk melayani semua orang Israel. Yitro mengingatkan menantu lelakinya, Musa: “Dengan cara ini, kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri” (Keluaran 18:18). Lalu dia menerangkan cara-cara yang Musa dapat membahagikan kerjanya supaya orang lain dapat mengongsi beban kerjanya yang terlalu berat.
Walaupun konsep ini kelihatan bertentangan bagi orang Kristian, penjagaan diri adalah penting bagi kehidupan yang sihat (Matius 22:37-39; Efesus 5:29-30). Ya, Kita mesti mengasihi Tuhan terlebih dahulu dan orang lain, tetapi kita juga perlu berehat secukupnya untuk memperbaharui tubuh dan jiwa kita. Kadangkala, penjagaan diri bermaksud berhenti bekerja untuk sementara dan membenarkan orang lain membantu kita dan meringankan beban kita.
Yesus sering menghentikan kerjanya untuk berehat dan berdoa (Markus 6:30-32). Apabila kita mengikut teladan-Nya, kita akan menjadi lebih efektif dalam hubungan kita dengan orang lain dan boleh memberikan keprihatinan yang lebih baik kepada orang lain.