Penduduk di Ghana sering menampal notis obituari pada papan iklan dan dinding konkrit. Tajuk berita seperti Pergi Terlalu Cepat, Merayakan Hidup dan Alangkah Terkejutnya! mengumumkan berita kematian orang tersayang serta maklumat mengenai pengebumian yang akan datang. Salah satu notis yang saya baca—Peralihan Tempat Tinggal—menunjukkan kehidupan selepas kematian.

Apabila seorang ahli keluarga atau sahabat meninggal dunia, kita berkabung sepertimana Maria dan Marta berkabung untuk saudara mereka, Lazarus (Yohanes 11:17-27). Kita sangat merindui mereka yang sudah pergi sehingga hati kita hancur dan kita pun menangis, seperti Yesus menangis ketika pemergian sahabat-Nya (ayat 35).

Bagaimanapun, pada waktu sedih inilah Yesus membuat suatu kenyataan yang menggembirakan tentang kehidupan selepas kematian: “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati” (ayat 25).

Inilah sebabnya kita hanya memberi ucapan selamat tinggal sementara kepada orang percaya yang sudah meninggal dunia terlebih dahulu. Kerana mereka “akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya,” kata Paulus (1 Tesalonika 4:17). Semestinya kata-kata selamat tinggal ini menyakitkan, tetapi kita dihiburkan kerana kita tahu bahawa mereka sudah selamat dalam tangan Tuhan.

Peralihan Tempat Tinggal mencadangkan bahawa kita hanya beralih dari suatu situasi ke situasi yang berlainan. Walaupun kehidupan kita di bumi akan berakhir, kita akan hidup selama-lamanya dengan lebih baik pada kehidupan seterusnya di tempat yang Yesus berada. “Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini” (ayat 18).