Pada tahun 1980, seorang wanita menaiki kereta api bawah tanah semasa acara Maraton Boston sedang berlangsung. Inilah bukan sesuatu yang luar biasa, padahal wanita ini sepatutnya berlari dalam maraton tersebut! Para saksi kemudian melihat wanita ini memotong masuk ke dalam perlumbaan pada jarak kurang daripada 2 kilometer dari penghujung garisan. Dia menghabiskan perlumbaan ini jauh lebih awal jika berbanding dengan pelari wanita yang lain, dan peliknya, dia langsung tidak menunjukkan rasa penat mahupun berpeluh banyak. Pada waktu yang singkat itu, dia kelihatan seperti pemenang.

Dalam satu konflik pada zaman dahulu, sekumpulan orang yang menuju kekalahan dalam satu peperangan telah menemui cara yang lebih terhormat untuk menang. Apabila beberapa orang utusan memberitahu Raja Yosafat, “Angkatan perang yang besar dari Edom telah datang,” dia menjadi sangat takut (2 Tawarikh 20:2-3). Tetapi dia tidak bergantung kepada taktik tentera untuk menyelesaikan hal ini, sebaliknya Yosafat berharap kepada Tuhan. Dia mengiktiraf kekuasaan Tuhan dan mengakui ketakutan serta kebingungannya sendiri. “Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong” (ayat 12). Kemudian raja memilih beberapa orang yang menyanyi nyanyian untuk memimpin tentera masuk berperang. Mereka tidak menyanyikan lagu perang, sebaliknya mereka menyanyi tentang kasih Tuhan (ayat 21). Hasilnya amat mengejutkan. Musuh-musuh mereka berlawan sesama sendiri (ayat 22-24). Pada akhirnya, “ … Raja Yosafat dapat memerintah dengan aman, dan Allah memberi Raja Yosafat ketenteraman di seluruh negeri” (ayat 30).

Hidup ini penuh dengan pelbagai cabaran yang tidak dijangka. Walau bagaimanapun, ketakutan dan keraguan kita memberi kita peluang untuk berharap kepada Tuhan kita yang Maha Kuasa. Dia pakar dalam cara-cara luar biasa.