Saya terlalu fokus dalam membaca sebuah buku sehingga kawan saya tunduk ke arah saya untuk melihat apa yang sedang saya baca. Hampir serta-merta, dia tersentak dan memandang saya dengan terkejut. “Sedihnya tajuk buku itu!” dia berkata. Masa itu saya sedang membaca “The Glass Coffin” (Keranda Kaca) dalam buku Grimm’s Fairy Tales (Cerita Dongeng Grimm), perkataan coffin (keranda) telah membuat dia gelisah. Kebanyakan kita tidak suka diingatkan tentang kematian. Akan tetapi, hakikatnya, antara 1,000 orang, 1,000 orang akan mati.

Kematian selalu menimbulkan respons emosi yang kuat. Pada waktu pengebumian seorang sahabat baik Yesus, Dia menunjukkan emosi yang mendalam. Apabila Dia melihat Maria, yang baru sahaja kehilangan saudaranya, “Yesus sedih hati dan terharu” (Yohanes 11:33). Satu lagi terjemahan mengatakan, “masygullah hati-Nya. Ia sangat terharu …” (Alkitab TB).

Yesus sangat risau—malahan marah—tetapi apa sebabnya? Kemungkinan, Dia marah pada dosa dan akibatnya. Tuhan tidak menciptakan dunia yang dipenuhi dengan kesakitan, kesengsaraan, dan kematian. Tetapi dosa memasuki dunia dan mencemarkan rancangan Tuhan yang indah.

Tuhan turut bersedih semasa kita bersedih, dan menangis bersama kita dalam kesedihan kita (ayat 35). Tetapi lebih daripada itu, Kristus mengalahkan dosa dan maut apabila Dia mati untuk kita lalu bangkit semula daripada kematian (1 Korintus 15:56-57).

Yesus berjanji, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati” (Yohanes 11:25). Sebagai orang yang percaya kepada Kristus, kita menikmati persekutuan dengan Penyelamat kita sekarang, dan kita menantikan masa untuk kekal bersama-sama Dia, yang tidak akan ada lagi tangisan, kesengsaraan, kesakitan, atau kematian.