Saya gemar melawat muzium seperti Galeri Nasional di London dan Galeri Tretyakov di Moscow. Kebanyakan karya seninya sangat mengagumkan, tetapi ada juga yang membingungkan saya. Saya melihat warna-warna yang dipercikkan tanpa corak tertentu pada suatu kanvas dan saya sedar bahawa saya tidak tahu apa yang sedang saya lihat—walaupun karya tersebut dihasilkan oleh pakar seniman.
Adakalanya kita juga berasa demikian terhadap Alkitab. Kita berfikir, Mungkinkah saya dapat memahami seluruh isinya? Apakah kitab yang saya harus baca terlebih dahulu? Mungkin kata-kata Paulus dapat menolong kita: “Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita, supaya kita mempunyai harapan kerana ajaran daripada Alkitab menyebabkan kita bersabar dan berteguh hati” (Roma 15:4).
Tuhan memberi Alkitab kepada kita sebagai panduan dan galakan. Dia juga mengutus Roh-Nya untuk menolong kita mengerti fikiran-Nya. Yesus berkata bahawa Dia menghantar Roh untuk membimbing [kita] supaya mengetahui segala kebenaran itu” (Yohanes 16:13). Paulus menegaskan hal ini dalam 1 Korintus 2:12 dengan berkata, “Kita tidak menerima roh dunia ini, tetapi kita menerima Roh Allah, supaya kita mengetahui semua yang telah dikurniakan Allah kepada kita.”
Dengan bantuan Roh, kita dapat mendalami Alkitab dengan yakin, kerana kita tahu bahawa pada setiap muka surat, Tuhan ingin kita mengenali diri-Nya dan jalan-jalan-Nya.