Anak kami, Josh merupakan seorang nelayan. Dia menangkap khasnya ikan salmon di Kodiak, Alaska. Tidak lama sebelum ini, dia mengirim kepada saya satu foto yang diambilnya sendiri, yang menunjukkan sebuah bot kecil berada beberapa ratus meter di hadapan botnya, dan bot kecil itu sedang melalui satu laluan sempit. Awan ribut gelap kelihatan di ufuk. Namun begitu, satu pelangi, simbol perlindungan serta kasih dan janji Tuhan, kelihatan dari satu hujung ke satu hujung laluan sempit tersebut dan mengelilingi bot kecil itu.

Foto ini menggambarkan pengembaraan duniawi kita: Kita berlayar menuju masa depan yang tidak pasti, tetapi kita dikelilingi oleh kasih setia Tuhan!

Para pengikut Yesus dikelilingi ribut, dan Dia menggunakan pengalaman itu untuk mengajar mereka tentang kuasa dan kesetiaan Tuhan (Matius 8:23-27). Kita mencari jawapan bagi ketidakpastian hidup. Kita melihat masa depan semakin mendatang dan terfikir apa yang akan terjadi kepada kita di sana. Penyair Puritan, John Keble, menunjukkan hal ini dalam salah satu puisinya, bahawa dia memandang masa depan yang semakin dekat. Tetapi sambil dia memandang, dia juga sedang “menunggu untuk melihat apa yang dilakukan oleh Tuhan.

Sama ada orang muda atau orang tua, kita semua menghadapi masa depan yang tidak pasti. Syurga menjawab: Kasih Tuhan dan kebaikan-Nya mengelilingi kita walau apa jua situasi yang menanti kita. Kita tunggu dan melihat apa yang akan dilakukan oleh Tuhan!