Babak-babak terakhir yang bersejarah dalam Perjanjian Lama dijelaskan dalam kitab Ezra dan Nehemia semasa Tuhan membenarkan umat Israel pulang daripada pembuangan dan menetap semula di Yerusalem. Kota Daud dipenuhi semula dengan keluarga-keluarga orang Ibrani, sebuah Rumah TUHAN yang baru dibina, dan dinding rosak dibaiki.

Kemudian kejadian ini membawa kita kepada kitab Maleakhi. Nabi ini, yang berkemungkinan sezaman dengan Nehemia, telah menulis bahagian terakhir dalam Perjanjian Lama. Ini yang mula-mula dikatakannya kepada umat Israel: “ ‘Aku sentiasa mengasihi kamu,’ Tuhan berfirman.” Namun, lihatlah jawapan mereka: “Bagaimanakah TUHAN mengasihi kami?” (1:2).

Menakjubkan, bukan? Sejarah mereka jelas menunjukkan kesetiaan Tuhan, namun selepas beratus-ratus tahun, Tuhan tetap mencukupi keperluan umat pilihan-Nya, sama ada dengan cara mukjizat atau cara biasa, mereka masih bertanya-tanya bagaimana Dia telah menunjukkan kasih-Nya. Seterusnya dalam kitab tersebut, Maleakhi mengingatkan mereka tentang ketidaksetiaan mereka (lihat ayat 6-8). Mereka mempunyai corak sejarah yang sangat panjang tentang pemberian Tuhan kepada mereka, diikuti dengan keingkaran mereka, kemudian disiplin daripada Tuhan.

Akhirnya tibalah masa Tuhan menggunakan cara lain untuk menunjukkan kasih-Nya. Nabi memberi tanda-tanda dalam Maleakhi 4:5-6 bahawa Mesias akan tiba. Harapan baru daripada seorang Penyelamat akan menunjukkan kasih-Nya serta menebus dosa kita semua.

Penyelamat telah datang ke bumi ini! Harapan Maleakhi kini menjadi kenyataan dalam Yesus.