Antara lima deria anda, yang manakah paling boleh menimbulkan memori anda? Bagi saya, sudah semestinya deria hidu. Bau sejenis losyen pelindung matahari akan terus membuat saya teringat pada sebuah pantai di Perancis. Bau ayam penyet membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak ketika melawat nenek saya. Bau pokok pain mengatakan “Krismas,” dan bau sejenis losyen selepas bercukur mengingatkan saya waktu anak lelaki saya masih seorang remaja.

Paulus mengingatkan jemaah di Korintus bahawa mereka adalah bau harum Kristus: “Kami seperti bau kemenyan yang harum” (2 Korintus 2:15). Dia mungkin merujuk kepada perarakan kemenangan orang Roma. Orang Roma akan memastikan semua orang mengetahui tentang kemenangan mereka dengan membakar kemenyan pada mazbah berhala di seluruh bandar. Bagi pemenang, bau harum itu menyenangkan; tetapi bagi tawanan, ia bermaksud perhambaan atau kematian untuk mereka. Oleh itu, sebagai orang percaya, kita adalah askar yang menang dan apabila injil Kristus disebarkan, itu adalah bau harum yang menyenangkan hati Tuhan.

Sebagai bau harum Kristus, apakah pewangi yang orang Kristian bawa bersama mereka apabila mereka memasuki sebuah bilik? Ia bukanlah pewangi yang boleh dibeli dalam botol atau balang. Apabila kita menghabiskan banyak masa dengan seseorang, kita mula berfikir dan berkelakuan seperti orang itu. Masa yang diluangkan untuk bersama Yesus akan menolong kita menyebarkan bau harum yang menyenangkan kepada orang di sekeliling kita.