Semasa Perang Dunia Ke-2, bapa saya berkhidmat untuk Tentera Amerika Syarikat di perairan Selatan Pasifik. Masa itu bapa saya tidak percaya kepada sebarang agama. Dia selalu berkata, “Saya tidak memerlukan agama untuk melegakan jiwa saya.” Namun pada suatu hari, pandangannya terhadap hal-hal rohani telah berubah selamanya ekoran satu peristiwa. Hal itu berlaku semasa ibu saya dihantar ke hospital untuk melahirkan adik kami. Saya dan abang pergi tidur dengan harapan bahawa tidak lama lagi kami akan bertemu dengan adik kami yang baru. Apabila saya bangun pada keesokan hari, saya berasa teruja dan bertanya kepada bapa saya, “Adakah itu adik lelaki atau adik perempuan?” Bapa menjawab, “Dia adik perempuan, tetapi dia sudah meninggal sewaktu dilahirkan.” Kami mula menangis bersama atas kehilangan itu.

Buat kali pertama, bapa saya menyerahkan hatinya yang remuk kepada Yesus ketika dia berdoa. Saat itu dia merasakan kedamaian dan penghiburan Tuhan yang luar biasa, walaupun dia kehilangan anak perempuannya. Tidak lama kemudian, dia berminat untuk membaca Alkitab dan mula berdoa kepada Tuhan yang boleh menyembuhkan hatinya yang hancur. Imannya mula bertumbuh selama beberapa tahun ini. Dia menjadi pengikut Yesus yang kuat—melayani Dia dengan menjadi guru Alkitab dan pemimpin gereja.

Yesus bukan sahaja memberikan kelegaan jiwa. Dia merupakan sumber kehidupan rohani yang baru! Apabila kita mengalami kehancuran dalam hidup kita, Dia boleh menjadikan kita baru dan sempurna (Mazmur 119:75).