Kegemilangan Empayar Rom telah membentangkan latar belakang yang luar biasa bagi kelahiran Yesus. Pada tahun 27 SM, raja Roma yang pertama, Kaisar Agustus menamatkan perang saudara yang berlangsung selama 200 tahun dan mula menggantikan kawasan yang termusnah akibat perang dengan tugu peringatan, kuil, arena dan kompleks-kompleks kerajaan. Menurut sejarawan Rom, Plinius yang Tua (seorang ahli falsafah alam pada awal Empayar Rom), bangunan-bangunan yang telah dibina merupakan “bangunan terindah yang pernah wujud di dunia.”

Walaupun Empayar ini dihiaskan dengan segala keindahan, bandar yang digelar sebagai Kota Abadi dan kerajaannya mempunyai sejarah kejam yang berlanjutan sehingga kejatuhannya. Beribu-ribu hamba, orang asing, revolusioner dan askar yang melarikan diri dari tentera, telah disalibkan di atas palang di tepi jalan sebagai amaran kepada semua orang supaya mereka tidak berani menentang kuasa Rom.

Betapa ironisnya, ini kerana kematian Yesus di kayu salib Rom telah menyatakan kemuliaan-Nya yang kekal. Inilah yang menjadikan kegemilangan Rom seumpama keindahan matahari terbenam yang hanya kelihatan untuk sementara!

Siapa dapat membayangkan bahawa melalui kutukan dan kesengsaraan pada kayu salib, kita boleh menemukan kasih yang kekal, hadirat dan kerajaan Tuhan?

Siapa dapat meramal bahawa satu hari kelak seluruh syurga dan bumi akan bernyanyi, “Anak Domba yang sudah dibunuh itu layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, penghormatan, kemuliaan, dan pujian” (Wahyu 5:12).