Pada tahun 1975, satu peristiwa yang penting telah berlaku kepada saya. Dengan tidak sabar saya pergi mencari kawan saya Francis, kawan yang saya biasa kongsi hal-hal peribadi, untuk memberitahu dia tentang perkara itu. Saya menemui dia sedang bergegas meninggalkan pangsapurinya, maka saya menghentikannya. Daripada cara dia memandang saya, dia sudah boleh menyangka ada hal penting yang perlu saya beritahukan. “Apa yang berlaku?” dia bertanya. Maka saya menjawab, “Kelmarin saya telah menyerahkan hidup saya kepada Yesus!”

Francis memandang saya sambil menghembuskan nafas, lalu dia berkata, “Saya sudah lama ingin melakukan perkara yang sama.” Lalu dia meminta saya berkongsi apa yang berlaku, dan saya menceritakan bahawa seseorang telah menjelaskan Injil kepada saya dan bagaimana menjemput Yesus ke dalam hidup saya. Saya masih teringatkan air mata Francis apabila dia juga berdoa untuk menerima pengampunan daripada Yesus. Kemudian Francis tidak keluar lagi dari rumahnya, kerana kami mula menceritakan hubungan kami yang baru dengan Kristus.

Selepas Yesus menyembuhkan orang yang dirasuk roh jahat, Dia memberitahu orang itu, “Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!” (Markus 5:19). Orang itu tidak perlu menyampaikan khutbah yang luar biasa; dia hanya perlu berkongsi kisah hidupnya.

Tidak kira apa jenis pengalaman rohani yang kita alami sewaktu kita percaya kepada Kristus, kita masih boleh melakukan apa yang dilakukan oleh lelaki tersebut, “[Dia] pergi … dan memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya.”