Bunyi siren telah terbunyi di luar rumah seorang budak lelaki. Budak yang tidak biasa mendengar bunyi itu bertanya kepada ibunya tentang maksudnya. Ibunya menjelaskan ia bertujuan untuk memberi amaran kepada orang ramai bahawa ribut kencang bakal melanda tempat itu. Dia menjelaskan lagi bahawa jika orang ramai tidak mencari tempat perlindungan, mereka mungkin akan mati akibat puting beliung. Budak itu menjawab, “Ibu, mengapa itu perkara yang buruk? Bukankah kita akan bertemu dengan Yesus jika kita mati?”

Mungkin kanak-kanak kecil tidak boleh memahami maksud kematian. Tetapi Paulus yang sering menghadapi ancaman kematian di sepanjang umurnya menuliskan perkara yang hampir serupa: “Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik” (Filipi 1:23). Masa itu Paulus dikurung dalam rumah, namun pernyataan dalam suratnya tidak diliputi oleh kekecewaan. Dia bersukacita kerana penderitaannya telah mendorong Injil disebarkan (ayat 12-14).

Jikalau demikian, mengapakah Paulus berasa teragak-agak tentang pilihannya mengenai hal-hal hidup dan mati? Itu kerana kalau dia terus hidup, dia “dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna.” Tetapi jika dia mati, dia tahu dia akan mengalami perhubungan yang intim dan istimewa dengan Kristus. Dengan kata lain, “meninggalkan tubuh ini” bermaksud kita dapat tinggal bersama-sama Tuhan (2 Korintus 5:6-8).

Orang yang percaya kepada kuasa penyelamatan dalam kematian dan kebangkitan Yesus akan kekal tinggal bersama dengan Dia. “Segalanya yang di syurga adalah baik.” Oleh itu, baik kita hidup atau mati, kita tetap menang. Ini kerana “hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah” (Filipi 1:21).