Penguasaan diri atau pengawalan diri mungkin merupakan perkara yang paling sukar dilakukan. Berapa kerap kita telah ditewaskan oleh tabiat buruk, sikap yang tidak sopan atau fikiran yang salah? Kita berjanji untuk bertambah baik. Kita meminta orang lain membantu kita. Namun jauh di dalam, kita tahu bahawa kita tidak ada ketekadan atau kemampuan untuk berubah. Kita boleh berkata secara terbuka, kita boleh merancang, kita boleh membaca buku maju-diri, tetapi kita masih mendapati bahawa banyak perkara yang ada dalam diri kita susah untuk diatasi dan dikawal!

Namun kita bersyukur, kerana Tuhan tahu kelemahan kita, dan Dia tahu cara untuk mengubatinya! Mengikut Alkitab, “Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri” (Galatia 5:22-23). Kita hanya mempunyai satu cara untuk belajar mengawal diri: mengizinkan Roh Kudus mengawal kita.

Dengan kata lain, fokus utama kita bukan berusaha sedaya upaya, tetapi menyerahkan diri sepenuhnya—untuk hidup saat demi saat dengan hati yang menyerah dan percaya kepada Tuhan, bukan diri sendiri. Inilah maksudnya “Roh Allah memimpin hidup kamu” (ayat 16) menurut kata Paulus.

Adakah anda bersedia untuk mengalami perubahan? Anda boleh berubah, kerana Tuhan ada di dalam anda. Apabila anda menyerahkan diri kepada-Nya, Dia akan membantu anda berbuah sehingga menjadi seperti-Nya.