Seorang penghasil minyak wangi di New York berkata bahawa dia dapat mengenal pasti gabungan haruman dan meneka jenama minyak wangi bagi sesuatu bau. Dengan menghidu sekali sahaja, dia dapat berkata, “Inilah haruman buatan Jenny.”
Apabila menulis kepada pengikut Kristus di kota Korintus, Paulus pada satu ketika menggunakan contoh yang mengingatkan mereka tentang saat tentera Rom yang berjaya menawan kota, membakar kemenyan di tempat itu (2 Korintus 2:14). Jeneral akan berlalu dahulu, diikuti dengan askar-askarnya, dan terakhir diikuti oleh tentera yang dikalahkan. Bagi orang Rom, haruman kemenyan menandakan kejayaan; tetapi bagi tawanan, itu bermakna kematian.
Paulus berkata bahawa bagi Tuhan, kita ialah haruman kemenangan Kristus ke atas dosa. Tuhan telah memberikan kita haruman Kristus sendiri supaya kita boleh menjadi haruman korban pujian. Tetapi bagaimana harus kita hidup agar haruman ini disebarkan kepada orang lain? Kita boleh menunjukkan kemurahan hati dan kasih, dan kita boleh berkongsi Injil dengan orang lain agar mereka juga menemukan jalan penyelamatan. Kita boleh mengizinkan Roh Kudus menyatakan kurnia-kurnia kasih, sukacita dan berbudi melalui kita (Galatia 5:22-23).
Adakah orang lain memerhatikan kita dan berkata, “Ini pekerjaan Yesus”? Adakah kita sedang mengizinkan Dia menyebarkan haruman-Nya melalui kita dan memberitahu orang lain tentang Dia? Dialah Penghasil Haruman Terunggul—haruman terindah yang seadanya.