Sewaktu menghadiri upacara pengebumian bapa kepada sahabat saya, seseorang berkata kepadanya, “Kalau saya tidak mengenal bapa anda, saya tidak akan mengetahui bahawa menolong orang adalah sesuatu yang menyeronokkan.” Bapanya telah memberikan sumbangannya dalam membina kerajaan Tuhan dengan melayani orang, dengan ketawanya dan kasih, dan bertemu dengan orang yang tidak dikenali yang kemudiannya menjadi kawan. Apabila dia meninggal dunia, dia meninggalkan warisan kasih. Secara pertentangan, mak cik kawan saya ini—kakak kepada bapanya—menganggap harta milik sebagai warisannya, lalu menghabiskan tahun-tahun terakhir hayatnya mengkhuatiri siapa yang akan melindungi pusaka keluarga turun-temurun dan buku-buku kunonya.
Melalui ajaran dan teladan-Nya, Yesus memberi amaran kepada pengikut-Nya supaya tidak berpegang kuat kepada harta milik, memberi kepada orang miskin, dan menghargai apa yang tidak akan berkarat atau rosak. “Karena di mana hartamu berada, di situ juga hatimu berada” (Lukas 12:34, Alkitab TB).
Kita mungkin berfikir bahawa harta milik kita membawa makna kepada hidup kita. Tetapi apabila peralatan terkini rosak atau kita kehilangan sesuatu benda yang berharga, kita mula menyedari bahawa hubungan kita dengan Tuhan yang akhirnya memuaskan dan bertahan. Bagaimanapun, kasih dan prihatin kita kepada orang lain tidak akan lenyap dan pudar.
Mari kita meminta Tuhan untuk menolong kita melihat dengan jelas apa yang kita hargai, untuk menunjukkan kepada kita di mana hati kita berada, dan menolong kita mencari kerajaan-Nya di atas segala yang lain (12:31).