Gunung Tianmen di Zhangjiajie, China, dianggap sebagai salah sebuah gunung yang tercantik di dunia. Untuk menikmati ketinggian cenuram serta segala keindahan dan kemegahannya, anda perlu menaiki kereta kabel Tianmen Shan untuk perjalanan yang sejauh 7,455 meter. Kereta kabel ini amat menakjubkan kerana ia boleh bergerak pada jarak yang begitu panjang, dengan melewati pergunungan yang curam tanpa sebarang motor di dalamnya. Namun ia bergerak dengan selamat pada ketinggian sedemikian kerana adanya cengkaman kuat pada kabel yang digerakkan oleh sebuah motor yang berkuasa tinggi.
Dalam perjalanan iman kita, bagaimanakah kita boleh menamatkan perlumbaan ini dengan baik dan “berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus”? (Filipi 3:14). Seperti kereta kabel tersebut, kita juga harus berpegang kuat kepada Kristus, itulah yang dimaksudkan oleh Paulus ketika dia berkata “berdiri teguh dalam hidup yang bersatu dengan Tuhan” (Filipi 4:1). Kita tidak memiliki kekuatan daripada diri kita sendiri. Kita bergantung sepenuhnya kepada Kristus untuk terus maju. Dia akan menuntun kita melalui cabaran-cabaran yang besar dan memimpin kita pulang ke syurga dengan selamat.
Pada akhir hidupnya, rasul Paulus berkata, “Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir” (2 Timotius 4:7). Anda juga boleh. Tetaplah berdiri teguh dalam Kristus.
percaya bahawa Tuhan setia menjaga anda.