Ketika membaca Alkitab, kita mungkin cuba untuk melangkaui bahagian senarai nama. Tetapi kita sebenarnya boleh menemui sesuatu yang berharga dalam senarai itu, misalnya senarai dua belas orang pengikut Yesus yang dipanggil-Nya untuk melayani Tuhan dalam nama-Nya. Kita mengenali kebanyakan nama itu—Simon yang disebut Petrus, si batu karang. Dua beradik Yakobus dan Yohanes yang merupakan nelayan. Yudas Iskariot, si pengkhianat. Namun dengan mudahnya kita boleh terlepas pandang bahawa Matius, si pemungut cukai dan Simon orang Zelot (Si Patriot) pernah menjadi musuh pada suatu ketika dahulu.
Matius memungut cukai untuk kerajaan Rom. Oleh itu, orang Yahudi memandang dia bersubahat dengan musuh. Pemungut cukai dibenci kerana mereka menerima rasuah, malah mereka meminta orang Yahudi memberikan wang kepada penguasa dan bukan Tuhan. Di samping itu, sebelum dipanggil oleh Yesus, Simon orang Zelot berkomited kepada gerakan kebangsaan Yahudi yang membenci pemerintahan Rom dan berusaha untuk menggulingkannya, dan sentiasa dengan cara yang kejam.
Walaupun Matius dan Simon memeluk fahaman politik yang bertentangan, namun Berita Baik tidak pernah menulis dan membahasnya, atau menentang mereka. Malah selepas mereka mengikut Yesus, barangkali mereka telah berjaya meninggalkan fahaman-fahaman yang didukung sebelum ini.
Apabila kita juga terus menumpukan perhatian kita kepada Yesus, Tuhan yang telah menjadi Manusia, kita akan semakin dapat merasakan persekutuan dengan rakan-rakan seiman melalui ikatan Roh Kudus.