“Perspektif saya terhadap bumi berubah secara mendadak pada pertama kali saya berlepas ke angkasa,” kata Charles Frank Bolden Jr, seorang angkasawan Space Shuttle. Dari jarak 644 km di ruang udara, pandangan bumi kelihatan tenang dan cantik bagi dia. Malah Bolden teringat kemudiannya bahawa sementara dia melintasi Timur Tengah, dia “tersedar” apabila dia memikirkan konflik yang berlanjutan di kawasan itu akibat peperangan. Semasa satu sesi temu ramah dengan Jared Leto, seorang penerbit filem, Bolden bercerita tentang saat dia melihat bumi ini, gambaran tentang keadaan bumi yang asal dan sepatutnya terlintas dalam mindanya—kemudian dia merasakan dirinya tercabar untuk melakukan segala yang termampu untuk memperbaikinya.
Ketika Yesus lahir di Betlehem, dunia tidak berada dalam keadaan seperti yang diinginkan Tuhan. Yesus datang membawa hidup dan cahaya ke dalam kehidupan moral dan rohani yang gelap (Yohanes 1:4). Walaupun dunia tidak mengenal Dia, “Dia akan memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya” (Ayat 12).
Sudah tentu kita akan berasa amat sedih apabila hidup ini tidak seperti yang kita inginkan—berlakunya perpecahan dalam rumah tangga, anak-anak dalam kelaparan, dan berlakunya perang dunia. Tetapi Tuhan berjanji bahawa melalui iman kepada Yesus, sesiapa pun boleh memulakan arah hidup yang baru.
Perayaan Krismas mengingatkan kita bahawa Yesus, Penyelamat, memberikan hadiah hidup dan cahaya kepada semua orang yang ingin menerima dan mengikuti Dia.