Suami saya seorang pastor. Pada suatu malam kami telah menerima satu panggilan telefon. Rupanya seorang wanita tua di gereja kami telah dibawa ke hospital. Dia merupakan pejuang doa kami yang berumur tujuh puluhan dan tinggal seorang diri. Keadaannya sangat tenat sehingga dia tidak mampu makan dan minum, malah dia tidak dapat melihat ataupun berjalan. Kami tidak pasti sama ada dia akan terus hidup, kami hanya dapat memohon belas kasihan dan pertolongan daripada Tuhan. Kami mengambil berat tentang keperluan wanita itu. Maka gereja kami bukan hanya melawat dan melayani dia secara bergilir-gilir, tetapi juga menunjukkan kasih orang Kristian kepada pesakit, pelawat serta jururawat yang lain.
Surat Yakobus yang ditujukan kepada orang Kristian Yahudi awal, mendorong mereka agar menolong orang yang berada dalam kesusahan dan ada keperluan. Yakobus menginginkan mereka bukan hanya sebagai pendengar firman Tuhan, tetapi juga sebagai pelaku firman-Nya (1:22-25). Dengan menyebut tentang keperluan untuk menolong anak-anak yatim piatu dan kaum balu (Ayat 27), dia menyebut tentang golongan yang lemah, kerana pada zaman dahulu, kebajikan mereka itu seharusnya ditanggung dan dijaga oleh keluarga mereka.
Bagaimanakah kita memberi respons kepada orang yang memerlukan bantuan di gereja dan masyarakat kita? Adakah kita memandang bahawa menolong golongan balu dan anak-anak yatim piatu sebagai aspek yang amat penting dalam mempraktikkan iman kita? Semoga Tuhan membuka mata kita untuk melihat peluang bagi melayani orang susah dan ada keperluan di mana sahaja.