Pada pagi yang dingin dan bersalji, sementara saya dan anak perempuan saya berjalan ke sekolah, kami seronok melihat nafas kami berubah menjadi wap. Kami ketawa berdekit-dekit apabila melihat pelbagai wap yang kami boleh hasilkan kelihatan di udara. Saya merasai saat-saat itu sebagai satu hadiah, kerana saya sangat seronok bersama dengan anak dan saya masih hidup.

Nafas kita, yang biasanya tidak dapat dilihat, boleh kita lihat di udara yang sejuk, dan ia membuatkan saya berfikir tentang Sumber nafas yang memberi hidup—Tuhan Pencipta kita. Dia yang mencipta Adam daripada debu tanah, menghembuskan nafas yang memberi hidup kepadanya, juga memberi hidup kepada kita dan segala ciptaan (Kejadian 2:7). Segala-galanya berasal daripada Dia—malahan nafas kita, yang kita sedut itu tanpa kita memikirkannya juga berasal daripada Dia.

Dalam keselesaan dan teknologi masa kini, kita mungkin tergoda untuk melupakan asal usul kita dan Tuhan yang merupakan satu-satunya Pengurnia hidup kepada kita. Tetapi apabila kita merenungkan bahawa Tuhan ialah Pencipta kita, kita boleh memupuk satu sikap bersyukur dalam rutin harian kita. Kita boleh memohon kepada Tuhan untuk menolong kita mengakui anugerah hidup yang diberikan-Nya kepada kita dengan rendah hati dan penuh kesyukuran. Semoga kesyukuran kita itu dapat menyentuh hati orang lain, agar mereka juga boleh bersyukur kepada Tuhan kerana kebaikan dan kesetiaan-Nya.