Jeralean Talley meninggal dunia pada Jun 2015 sebagai seorang yang paling tua—berumur 116 tahun. Pada tahun 1995, bandar Yerusalem meraikan ulang tahunnya yang ke-3,000. 116 tahun dan 3,000 tahun masing-masing memang merupakan usia yang cukup tua bagi seseorang dan sebuah bandar, tetapi terdapat pokok-pokok yang hidup lebih tua lagi. Pokok pain bristlecone yang terletak di White Mountains, California, Amerika Syarikat difahamkan berusia lebih daripada 4,800 tahun. Usia pokok itu 800 tahun lebih tua daripada Abraham!
Ketika Yesus dicabar oleh para imam Yahudi mengenai identiti-Nya, Dia juga mengatakan bahawa Dia sudah ada sebelum Abraham. “Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada” (Yohanes 8:58). Kenyataan-Nya yang berani itu mengejutkan semua orang yang sedang membangkang Dia, dan mereka hendak merejam Yesus. Mereka tahu bahawa Yesus tidak merujuk kepada umur secara kronologinya tetapi sebenarnya menyebut diri-Nya hidup kekal dengan memakai nama Tuhan yang purba, “Aku” (sila baca Keluaran 3:14). Tetapi sebagai salah satu daripada oknum tritunggal, Dia dapat mengesahkan hal itu.
Dalam Yohanes 17:3, Yesus berdoa, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.” Tuhan yang kekal masuk ke dalam sejarah manusia agar kita boleh hidup selama-lamanya. Dia menyempurnakan misi itu dengan mati kerana dosa kita dan bangkit semula. Oleh sebab pengorbanan-Nya, kita mengharapkan suatu masa depan yang tidak dibatasi waktu dan kita akan hidup selama-lamanya bersama Dia. Dia Tuhan yang kekal.