Ketika Edward Klee kembali ke Berlin selepas bertahun-tahun meninggalkan bandar itu, bandar yang diingat dan disayangi itu tidak lagi seperti dahulu. Ia telah berubah secara mendadak, begitu juga dengan dia sendiri. Penulisannya dalam majalah Hemisphere mencatatkan, “Keadaan yang sudah berubah boleh mengecewakan hati apabila seseorang kembali ke sesebuah kota yang disayanginya.” Kembali ke tempat-tempat yang kita pernah diami dahulu mungkin akan menimbulkan perasaan sedih dan bingung. Kita bukan orang yang sama lagi seperti dahulu, begitu juga dengan tempat yang pernah menjadi tempat yang sangat penting dalam hidup kita.

Nehemia telah dibuang dari negeri Israel selama bertahun-tahun lamanya ketika dia mengetahui pahit getir rakyatnya dan kemusnahan bandar Yerusalem. Maka Dia meminta kebenaran daripada Artahsasta, raja Persia, untuk kembali ke bandar Yerusalem dan membina semula temboknya. Selepas semalaman meninjau keadaan (Nehemia 2:13-15), Nehemia berkata kepada penduduk di situ, “Lihatlah keadaan kita yang sengsara ini! Kota Yerusalem tinggal reruntuhan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api. Marilah kita bina semula tembok kota supaya kita tidak dihina lagi” (Ayat 17).

Nehemia kembali ke Yerusalem untuk membina semula, bukan mengenang kembali apa yang sudah berlaku. Ini adalah satu pelajaran yang amat berkuasa untuk kita apabila kita ingin memulihkan hidup kita yang termusnah. Iman kita dalam Kristus dan kuasa-Nya yang membolehkan kita untuk memandang ke hadapan, bergerak maju, dan membina semula.