Semasa diwawancara, penyanyi dan penulis lagu Meredith Andrews bercakap tentang ketidakmampuannya ketika dia mencuba untuk menyeimbangkan peranannya dalam penginjilan, kerjaya, kehidupan perkahwinan dan menjadi seorang ibu. Ketika mengimbas kembali cabaran-cabaran itu, dia berkata, “Saya berasa Tuhan membawa saya melalui waktu pemurnian, malah seumpamanya melalui proses penghancuran.”
Ayub menderita selepas kehilangan mata pencarian, kesihatan, dan keluarganya. Lebih buruk lagi, walaupun Ayub menyembah Tuhan setiap hari, dia berasa bahawa Tuhan tidak mempedulikan seruannya untuk meminta tolong. Tuhan seakan-akan telah hilang daripada hidupnya. Ayub mengatakan bahawa dia tidak dapat melihat Tuhan apabila dia memandang ke utara, selatan, timur, dan barat (Ayub 23:2-9).
Semasa Ayub berputus asa, dia memperoleh pengertian. Imannya berkedip lalu menjadi hidup seperti lilin bernyala di sebuah bilik yang gelap. Dia berkata, “Namun Allah tahu setiap langkahku; jika aku diuji, terbukti kemurnian hatiku” (ayat 10). Orang Kristian diuji dan dikuduskan apabila Tuhan menggunakan kesusahan untuk menghapuskan sikap kita seperti bergantung kepada diri sendiri, kesombongan, dan hikmat duniawi. Tuhan seakan-akan mendiamkan diri semasa proses ini dan Dia tidak menjawab seruan kita. Dia mungkin memberikan kita peluang untuk menjadi lebih kuat dalam iman.
Kesakitan dan masalah dapat menghasilkan sikap cemerlang serta teguh, yang datang daripada kepercayaan kepada Tuhan, apabila menjalani hidup sukar.
Masa pengujian iman boleh menjadi masa penguatan iman.