Seorang sahabat baik menghantar pesanan ringkas kepada saya yang berbunyi, “Saya sangat gembira kerana kita boleh saling berkongsi masa-masa yang baik, susah dan buruk!” Kami sudah lama bersahabat, dan telah belajar berkongsi kegembiraan serta kegagalan kami. Kami sedar bahawa kami memang tidak sempurna, oleh itu, kami berkongsi pergelutan tetapi juga bergembira atas kejayaan masing-masing.
Daud dan Yonatan juga mempunyai ikatan persahabatan yang sangat akrab, bermula pada masa yang baik, iaitu ketika kemenangan Daud ke atas Goliat (1 Samuel 18:1–4). Mereka berkongsi ketakutan semasa hari yang susah, iaitu ketika bapa Yonatan, Saul cemburu akan Daud (18:6–11; 20:1–2). Akhirnya, mereka menderita bersama-sama semasa hari yang buruk, iaitu ketika Saul merancang untuk membunuh Daud (20:42).
Sahabat baik tidak akan meninggalkan kita apabila keadaan persekitaran berubah. Mereka akan tetap bersama kita pada hari yang baik dan hari yang susah. Sahabat baik juga akan mengarahkan kita kepada Tuhan pada hari yang buruk, iaitu semasa kita tergoda untuk menjauhi Tuhan kita.
Sahabat-sahabat sejati adalah anugerah daripada Tuhan kerana mereka melambangkan Sahabat sempurna, yang tetap setia pada hari yang baik, susah dan buruk. Tuhan mengingatkan kita, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu” (Ibrani 13:5).