Ada kalanya ketika saya meletakkan kepala di atas bantal pada waktu malam dan berdoa, saya membayangkan saya sedang bersandar pada Yesus. Setiap kali saya melakukannya, saya ingat sesuatu yang dikatakan oleh firman Tuhan tentang rasul Yohanes. Yohanes sendiri yang menulis tentang bagaimana dia duduk di samping Yesus semasa Perjamuan Terakhir: “Pengikut yang dikasihi oleh Yesus duduk di sebelah Yesus” (Yohanes 13:23).
Yohanes menggunakan kata-kata “pengikut yang dikasihi oleh Yesus” sebagai satu cara untuk merujuk kepada dirinya sendiri tanpa menyebut namanya. Dia juga menggambarkan keadaan jamuan yang biasa pada abad pertama di Israel, iaitu meja makan lebih rendah daripada yang kita biasa gunakan pada masa sekarang. Ia berketinggian lebih kurang pada paras lutut sahaja. Bersandar tanpa kerusi di atas tikar atau kusyen adalah posisi biasa bagi orang yang mengelilingi meja makan. Yohanes sedang duduk sangat dekat dengan Tuhan sehingga apabila dia menoleh untuk bertanya satu soalan kepada-Nya, dia “bersandar pada Yesus” (Yohanes 13:25), dengan meletakkan kepalanya pada dada Yesus.
Kedudukan Yohanes yang sangat rapat dengan Yesus pada saat itu memberikan suatu ilustrasi yang berguna bagi hidup kita dengan-Nya pada hari ini. Kita mungkin tidak mampu menyentuh Yesus secara fizikal, tetapi kita boleh mempercayakan situasi terbeban dalam hidup kita kepada-Nya. Dia berkata, “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu” (Matius 11:28). Kita sangat diberkati kerana mempunyai seorang Penyelamat yang boleh dipercayai dan tetap setia dalam setiap keadaan hidup kita! Adakah anda “bersandar” kepada-Nya hari ini?