Penumpang dalam kereta api Metro di Kanada telah menyaksikan satu detik tegang yang membawa pengakhiran yang sangat menyentuh hati. Seorang lelaki muda telah menakutkan penumpang lain dengan suara kuat serta kata-kata kasar. Pada ketika itu, seorang wanita tua yang berumur 70-an dengan lemah lembut mendekati dan menghulurkan tangannya kepada lelaki itu. Kebaikan wanita tua itu menenangkan lelaki tersebut yang kemudian jatuh ke lantai sambil menangis. Dia berkata, “Terima kasih, nenek,” lalu bangkit dan pergi. Nenek itu mengakui bahawa dia juga berasa takut. Akan tetapi katanya, “Saya seorang ibu, dan dia memerlukan seseorang untuk menjamahnya.” Mungkin adalah lebih baik jika dia tidak menghampiri lelaki tersebut, namun dia telah mengambil risiko disebabkan oleh kasih.
Yesus memahami belas kasihan seumpama itu. Dia tidak berasa gentar dan takut terhadap seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, dijangkiti penyakit kusta dan merayu agar disembuhkan seperti orang lain. Dia juga bukannya tidak berkuasa seperti para pemimpin agama yang hanya mengutuk orang yang membawa penyakit kusta ke dalam perkhemahan (Imamat 13:45–46). Sebaliknya, Yesus menghampiri seseorang yang mungkin sudah lama tidak dijamah oleh orang lain malah menyembuhkannya.
Syukurlah bagi orang itu dan kita. Ini kerana Yesus datang untuk menawarkan apa yang tidak dapat ditawarkan oleh mana-mana hukum—jamahan tangan-Nya dan hati-Nya.
Tidak kira betapa besarnya masalah atau dosa kita, Yesus sudi menjamah kita.