Anak perempuan saya menghantar mesej kepada kawannya dengan harapan bahawa dia akan mendapat jawapan dengan segera. Perkhidmatan telefon bimbitnya menunjukkan bahawa penerima telah membaca mesej tersebut, jadi dia menantikan jawapan dengan cemas. Masa berlalu, dia menjadi kecewa, mengeluh dengan rasa jengkel kerana jawapan yang lambat. Kejengkelan berubah menjadi kerisauan; dia tertanya-tanya sama ada wujud masalah di antara mereka yang menjadi penyebab respons yang lambat. Akhirnya, jawapan itu sampai dan anak perempuan saya lega kerana tidak ada masalah dalam hubungan mereka. Kawannya hanya perlu mengumpulkan maklumat yang diperlukan sebelum menjawab pertanyaan tersebut.

Dalam Perjanjian Lama, nabi Daniel juga menantikan jawapan dengan cemas. Selepas menerima visi yang menakutkan mengenai peperangan yang besar, Daniel berpuasa dan berseru kepada Tuhan dalam doa dengan rendah hati (10:3,12). Selama tiga minggu, dia tidak menerima apa-apa jawapan (ayat 2,13). Akhirnya, malaikat tiba dan meyakinkan Daniel bahawa doanya telah didengar “sejak hari pertama.” Pada masa yang sama, malaikat telah berjuang bagi pihak doa tersebut. Meskipun pada mulanya Daniel tidak mengetahui perkara tersebut, Tuhan bekerja antara dua puluh satu hari tersebut sejak hari pertama dia berdoa sehingga malaikat datang.

Keyakinan kita bahawa Tuhan mendengar doa kita (Mazmur 40:2) boleh menyebabkan kita cemas apabila jawapan-Nya tidak diberikan menurut kehendak kita. Kita mudah tertanya-tanya sama ada Dia mengambil berat terhadap kita. Namun pengalaman Daniel mengingatkan kita bahawa Tuhan bekerja bagi pihak mereka yang dikasihi-Nya, walaupun kita tidak dapat melihat dengan jelas.