Saya bersyukur kepada Tuhan atas peluang untuk menjadi penjaga ibu saya semasa dia berjuang melawan leukemia. Apabila ubat-ubatan tidak lagi melegakan kesakitannya, dia membuat keputusan untuk menghentikan rawatan. “Saya tidak mahu menderita lagi,” katanya. “Saya mahu menikmati hari-hari terakhir saya dengan keluarga. Tuhan tahu bahawa saya sudah bersedia untuk pulang kepada-Nya.”

Saya menyeru Bapa syurgawi yang penuh kasih—Doktor teragung—yakin bahawa Dia akan melakukan mukjizat. Tetapi untuk mengatakan “ya” kepada doa ibu saya, Dia harus mengatakan “tidak” kepada permohonan doa saya. Dengan tersedu-sedan, saya menyerah, “Terjadilah kehendak-Mu, Tuhan.”

Tidak lama kemudian, Yesus menjemput ibu saya ke kekekalan tanpa kesakitan.

Di dunia yang telah jatuh ini, kita akan mengalami penderitaan sehingga Yesus kembali (Roma 8:22-25). Sifat semula jadi kita yang berdosa, visi yang terbatas, dan takut akan kesakitan telah menghalang kita untuk berdoa. Syukurlah, “kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah” (ayat 27). Dia mengingatkan kita, “bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia” (ayat 28), walaupun pada saat Dia berkata “ya” kepada orang lain itu bermakna jawapan “tidak” kepada kita.

Apabila kita menerima peranan kecil kita dalam tujuan-Nya yang besar, kita boleh mengulangi cogan kata ibu saya, “Tuhan itu baik, dan segalanya termasuk dalam kebaikan-Nya. Apa pun keputusan-Nya, saya menerima dengan tenang.” Dengan keyakinan terhadap kebaikan Tuhan, kita boleh mempercayai Dia akan menjawab setiap doa kita bersesuaian dengan kehendak dan kemuliaan-Nya.