Dalam satu minggu baru-baru ini, saya telah menerima beberapa surat jemputan. Antaranya ialah seminar “percuma” tentang persaraan, harta tanah, dan insurans kehidupan, dan saya terus membuang semuanya. Namun saya memberi jawapan, “Ya, saya setuju” dengan segera bagi satu jemputan untuk menghadiri perjumpaan kawan lama. Jemputan + Keinginan = Penerimaan.

Yesaya 55:1 adalah salah satu jemputan terbaik dalam Alkitab. Tuhan berkata kepada umat-Nya, “Marilah, setiap orang yang haus, minumlah air yang tersedia. Marilah, kamu yang tidak mempunyai wang, terimalah gandum dan makanlah. Mari! Terimalah wain dan susu, tanpa membayar apa-apa.” Inilah jemputan yang terbaik daripada Tuhan untuk menikmati makanan rohani, kepuasan rohani yang mendalam, dan kehidupan kekal (ayat 2-3).

Jemputan Yesus juga tertulis dalam bab terakhir Alkitab: “Roh Allah dan Pengantin Perempuan berkata, ‘Marilah!’ Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, ‘Marilah!’ Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya!” (Wahyu 22:17).

Kita biasanya berfikir bahawa kehidupan kekal akan bermula pada saat kita mati. Tetapi dalam realiti, ia bermula semasa kita menerima Yesus sebagai Penyelamat dan Tuhan kita.

Jemputan Tuhan untuk menerima kehidupan kekal dalam-Nya merupakan jemputan yang terbaik bagi kita semua. Jemputan + Keinginan = Penerimaan.