Seorang sahabat saya yang baru-baru ini telah banyak mengharungi kesukaran, telah menulis sedemikian, “Ketika saya mengimbas kembali empat semester kehidupan sebagai seorang pelajar, terlalu banyak perkara telah berubah … Ia benar-benar menakutkan. Tidak ada yang kekal selamanya.”

Memanglah ada banyak perkara boleh terjadi dalam tempoh dua tahun—perubahan pekerjaan, persahabatan yang baru terjalin, penyakit, kematian. Perkara yang baik ataupun yang buruk, pengalaman yang boleh mengubah kehidupan mungkin sedang menanti dan semakin menghampiri, hanya menunggu masa untuk menerkam kita! Kita langsung tidak mengetahuinya. Oleh itu, betapa senangnya hati kita apabila mengetahui bahawa Bapa syurgawi kita tidak berubah.

Pemazmur berkata, “Tetapi Engkau tetap sama, hidupku tidak akan berakhir” (Mazmur 102:28). Kebenaran ini membawa maksud yang amat besar kepada kita, iaitu Tuhan penyayang, adil, dan bijaksana selamanya. Guru Alkitab, Arthur W. Pink telah membuat pernyataan ini: Apa jua sifat Tuhan sebelum terciptanya alam semesta, segala sifat itu adalah benar-benar sama sampai sekarang, dan akan tetap sama selama-lamanya.”

Dalam Perjanjian Baru, Yakobus menulis, “Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun” (Yakobus 1:17). Ketika keadaan kita berubah, kita boleh senantiasa yakin bahawa Tuhan kita yang baik akan senantiasa konsisten dalam sifat-Nya. Dia sumber segala kebaikan, dan semua yang dilakukan-Nya adalah baik.

Walaupun tiada perkara yang kekal selamanya, tetapi Tuhan kita akan tetap baik secara konsisten terhadap umat kepunyaan-Nya.