Saya dan isteri saya Carolyn, sedang berjalan-jalan di London dan menemui sebuah jalan yang bernama Godliman Street (Lorong Hamba Tuhan). Kami diberitahu bahawa seorang lelaki pada suatu ketika dahulu pernah tinggal di situ. Cara hidupnya adalah sangat kudus sehingga lorong itu dikenali sebagai “lorong hamba Tuhan” (Godly). Ini mengingatkan saya tentang sebuah cerita dalam Perjanjian Lama.

Bapa Saul telah menyuruhnya bersama dengan seorang hamba untuk pergi mencari beberapa ekor keldai yang telah hilang. Sudah sekian lama pemuda itu mencari haiwan tersebut tetapi dia masih belum menemuinya.

Saul sebenarnya ingin berhenti mencari keldai dan hendak pulang ke rumah, tetapi hambanya menunjuk ke arah Rama, tempat tinggal nabi Samuel, dan menjawab, “Tunggu dulu! Di kota ini ada seorang hamba Allah. Dia sangat dihormati orang kerana apa sahaja yang dikatakannya selalu benar-benar terjadi. Marilah kita pergi berjumpa dengan dia. Barangkali dia dapat memberitahu kita di mana keldai-keldai itu” (1 Samuel 9:6).

Sepanjang kehidupan nabi Samuel sehingga dia mencapai usia tua, dia selalu menjalin persahabatan dan persekutuan dengan Tuhan, dan percakapannya penuh dengan kebenaran. Orang mengenalnya sebagai nabi Tuhan. Justeru itu, Saul dan hambanya “pergi ke kota, tempat hamba Allah itu tinggal” (ayat 10).

Semoga kehidupan kita mencerminkan Yesus sehingga meninggalkan kesan yang baik kepada orang di sekeliling kita, dan pengabdian kita terhadap Yesus akan diingati!