Ketika anak lelaki saya naik darjah di sekolah, dia menangis, “Saya mahukan cikgu saya seumur hidup!” Kami terpaksa membantu dia menyedari bahawa pertukaran guru adalah sebahagian dalam kehidupan. Kita mungkin tertanya-tanya: Adakah perhubungan yang kekal sepanjang hidup?

Yakub, nenek moyang Israel telah menemuinya. Selepas mengharungi hidup yang penuh dengan perubahan dramatik dan kehilangan orang tersayang pada masa yang sama, dia sedar bahawa Tuhan selalu menyertai hidupnya. Dia berdoa, “Semoga Allah yang membimbing aku sampai sekarang, … memberkati mereka” (Kejadian 48:15-16).

Yakub merupakan seorang gembala. Oleh itu, dia menggambarkan hubungannya dengan Tuhan sebagai seorang gembala dan dombanya. Sejak seekor domba dilahirkan hingga masa tua, gembala menjaga ternakannya siang dan malam. Dia memberi bimbingan pada siang hari dan perlindungan pada malam hari. Daud yang merupakan seorang gembala juga mempunyai kepercayaan yang sama, malah dia menekankan kekekalan dalam perhubungan kita dan Tuhan apabila dia mengatakan, “rumah-Mu akan menjadi rumahku sepanjang hidupku” (Mazmur 23:6).

Pertukaran guru adalah sebahagian dalam kehidupan. Akan tetapi alangkah baiknya apabila mengetahui bahawa kita boleh mempunyai perhubungan seumur hidup. Gembala Agung telah berjanji untuk menyertai kita setiap hari “sehingga akhir zaman” (Matius 28:20). Apabila kehidupan di dunia ini berakhir, kita akan tinggal dengan Tuhan selama-lamanya.