Sejak kali pertamanya novel Lew Wallace yang bertajuk Ben-Hur: Kisah Kristus diterbitkan pada tahun 1880, pencetakan buku itu tidak pernah dihentikan. Ia telah menjadi buku Kristian yang paling berpengaruh pada abad ke-19, dan terus menarik minat para pembaca hari ini kerana ia menjalinkan kisah benar tentang Yesus dengan cereka tentang seorang bangsawan muda Yahudi yang bernama Judah Ben-Hur.

Amy Lifson yang menulis untuk majalah Humanities, berkata bahawa buku itu telah mengubah kehidupan penulis itu sendiri. “Sebagaimana Ben-Hur membimbing pembaca melalui babak-babak tentang penyaliban Yesus yang menderita, begitulah juga dia memimpin Lew Wallace untuk percaya kepada Yesus Kristus.” Wallace berkata, “Saya sudah melihat orang Nazaret itu … saya sudah menyaksikan Dia melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan oleh manusia biasa.”

Catatan dalam kitab-kitab Injil mengenai kehidupan Yesus membolehkan kita berjalan bersama dengan-Nya, melihat mukjizat-Nya dan mendengar firman-Nya. Dalam bahagian penutup Injil Yohanes, dia menulis, “Banyak lagi mukjizat lain yang dilakukan oleh Yesus di hadapan pengikut-pengikut-Nya, tetapi tidak ditulis di dalam kitab ini. Tetapi semua ini ditulis supaya kamu percaya bahawa Yesus Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu beroleh hidup sejati” (Yohanes 20:30–31).

Seperti Lew Wallace yang telah membuat kajian, membaca Alkitab serta menulis telah memimpinnya percaya kepada Yesus, demikianlah firman Tuhan memimpin kita mengalami perubahan dalam minda dan hati. Dengan ini, kita mendapat kehidupan kekal melalui Yesus.