Ketika saya berumur dua belas tahun, keluarga kami telah berpindah ke sebuah bandar yang berada di kawasan gurun. Selepas kelas gim di tengah cuaca yang panas di sekolah baru saya, kami bergegas ke tempat pengambilan air minum. Disebabkan badan saya kurus berbanding dengan rakan sebaya yang lain, maka kadangkala saya ditolak ke tepi semasa berbaris untuk mengambil air. Suatu hari, seorang rakan saya bernama Jose yang berbadan besar dan kuat melihat kejadian ini. Dia datang untuk membantu dengan mengetepikan pelajar lain yang menolak saya. “Hoi!” teriaknya, “Biarlah Banks mengambil air minum dulu!” Sejak itu saya tidak pernah lagi menghadapi gangguan ketika mengambil air minum di situ.

Yesus memahami rasanya menghadapi kejahatan orang lain. Alkitab memberitahu kita, “Kita menghina dan menolak dia” (Yesaya 53:3). Tetapi Yesus bukan hanya menderita bagi kita, Dia juga telah menjadi pembela bagi pihak kita. Dengan memberikan nyawa-Nya, Yesus telah “membuka satu jalan baru bagi kita, jalan yang memberikan kehidupan”, supaya kita dapat membina hubungan dengan Tuhan (Ibrani 10:20). Dia telah melakukan apa yang tidak mampu kita lakukan, serta memberi kita rahmat penyelamatan apabila kita bertaubat daripada dosa dan mempercayai Dia.

Yesus merupakan sahabat terbaik yang pernah kita miliki. Dia berkata, “Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku” (Yohanes 6:37). Orang lain mungkin menjauhi malah menolak kita, tetapi Tuhan membuka tangan-Nya bagi kita melalui salib. Betapa hebatnya Penyelamat kita!