Seorang penulis bernama Rita Snowden menceritakan sebuah kisah yang menyeronokkan tentang lawatannya ke sebuah desa kecil di Dover, England. Ketika dia sedang duduk di luar sebuah kafe pada suatu tengah hari sambil menghirup teh, dia terhidu bau wangi yang semerbak. Rita bertanya kepada seorang pelayan tempat datangnya bau tersebut, dan dia diberitahu bahawa bau itu datangnya daripada orang yang sedang berlalu, di hadapannya. Kebanyakan orang kampung di situ bekerja di sebuah kilang minyak wangi yang berdekatan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, mereka membawa haruman yang meresap ke baju mereka serta mengharumi jalan yang dilalui oleh mereka.
Betapa indahnya gambaran kehidupan Kristian ini! Seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus, kita adalah seperti aroma Kristus, menyebarkan haruman-Nya di mana-mana (2 Korintus 2:15). Paulus menggunakan gambaran seorang raja yang kembali dari pertempuran, angkatan tentera dan orang tawanannya mengekor di belakang, mennyebarkan bau semerbak kemenyan kemenangan ke udara, serta mengisytiharkan kebesaran raja (ayat 14).
Menurut Paulus, kita menyebarkan aroma Kristus dengan dua cara. Pertama, kita menyebarkannya melalui kata-kata kita: memberitahukan kepada orang lain tentang keindahan-Nya. Kedua, melalui gaya hidup kita: mengikut teladan Kristus dalam hal pengorbanan (Efesus 5:1–2). Walaupun bukan semua orang akan menghayati haruman Kristus yang kita kongsi, ia tetap mendatangkan hidup kekal bagi ramai orang.
Rita Snowden dapat menghidu bau harum dan terdorong untuk mencari sumbernya. Sementara kita mengikut Yesus, kita turut diresapi oleh haruman-Nya, dan kita membawa aroma-Nya di mana-mana melalui kata-kata dan perbuatan kita.
Kita merupakan aroma Kristus kepada orang lain.