Untuk ulang tahun perkahwinan kami, suami saya meminjam sebuah basikal tandem (tunggang bersama) supaya kami boleh menikmati perjalanan romantik bersama. Sewaktu kami mulai mengayuh, saya sedar bahawa sebagai pengayuh di belakang, pandangan saya kepada jalan di hadapan adalah terhalang oleh bahu luas suami saya. Tambahan lagi, gagang basikal di belakang adalah tetap; jadi ia tidak memberi kesan kepada kemudi basikal. Hanya gagang basikal di hadapan yang menentukan arah kami; gagang saya cuma berfungsi sebagai penyokong bahagian atas badan saya. Saya boleh sahaja memilih untuk berasa kecewa kerana tidak turut mengawal basikal tersebut, ataupun menikmati perjalanan itu serta mempercayai Mike akan menunggang dengan selamat di sepanjang perjalanan kami.

Ketika Tuhan menyuruh Abram meninggalkan negeri serta kaum keluarganya, Tuhan tidak memberikan banyak maklumat tentang destinasi itu. Tiada koordinasi bentuk muka bumi. Tiada keterangan tentang tempat baru ataupun sumber semula jadi yang ada di situ. Malah masa yang diperlukan untuk sampai ke destinasi pun tidak diberitahukan. Tuhan hanya memberikan perintah untuk “pergi” ke negeri yang akan ditunjukkan-Nya. Abram tetap taat kepada arahan Tuhan, sungguhpun kekurangan perincian yang paling diinginkan oleh manusia, dan ini kerana dia beriman (Ibrani 11:8).

Jika kita mendapati bahawa diri kita sedang bergelut dengan ketidakpastian ataupun kekurangan kawalan dalam kehidupan kita, marilah kita mencontohi Abram yang menuruti dan mempercayai Tuhan. Tuhan akan “mengemudi” arah kehidupan kita dengan baik.