Seorang pastor memberikan huraian yang hidup tentang frasa “Dia akan memberikan baju yang ditanggalkannya” ketika dia memberikan cabaran ini kepada jemaah: “Apakah yang akan terjadi jika kita menanggalkan kot dan memberikannya kepada orang yang memerlukan?” Kemudian dia mengambil kotnya sendiri dan meletakkannya di hadapan para jemaah. Sejumlah orang turut melakukan hal yang sama. Ini berlaku semasa musim sejuk, jadi perjalanan pulang ke rumah adalah kurang selesa pada hari itu. Namun bagi sejumlah orang yang ada keperluan, badan mereka akan merasai kehangatan yang penuh kasih pada musim sejuk.

Ketika Yohanes Pembaptis berkelana di padang gurun Yudea, dia memberikan amaran yang keras kepada orang ramai yang datang untuk mendengarkannya. “Kamu orang jahat!” kata Yohanes. “Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa!” (Lukas 3:7–8). Dengan sedikit terkejut, mereka bertanya kepada Yohanes, “Apakah yang harus kami lakukan?” Yohanes menjawab dengan nasihat ini, “Sesiapa yang mempunyai dua helai baju, harus memberikan sehelai kepada orang yang tidak mempunyai baju; dan sesiapa yang mempunyai makanan, harus berkongsi makanan dengan yang berkekurangan” (ayat 10–11). Pertaubatan sejati akan menghasilkan kemurahan hati.

Oleh sebab “Allah mengasihi orang yang memberi dengan senang hati”, maka kita tidak sepatutnya memberi kerana terpaksa atau tertekan (2 Korintus 9:7). Sebaliknya apabila kita memberi dengan rela dan murah hati, kita akan mendapati bahawa kita menjadi lebih berbahagia memberi daripada menerima.